fbpx

8 unit lif di 5 stesen Monorel kini beroperasi sepenuhnya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Pengendali perkhidmatan Monorel, Rapid Rail Sdn. Bhd. (Rapid Rail) memaklumkan lapan unit lif di lima stesen Monorel kini beroperasi sepenuhnya selepas menjalani proses penaiktarafan termasuk pemeriksaan dan pematuhan terhadap peraturan keselamatan daripada pihak agensi kerajaan yang berkaitan.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi), Prasarana Malaysia Berhad Rapid Rail, Amir Hamdan berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan bagi meningkatkan keselesaan serta aksesibiliti pengguna, khususnya golongan warga emas, orang kurang upaya (OKU), serta keluarga yang membawa anak kecil atau menggunakan kereta sorong bayi.

Jelas kenyataan tersebut, baki lapan unit lif termasuk satu unit eskalator di enam stesen berikutnya kini sedang menjalani fasa akhir ujian pentauliahan serta pengeluaran permit mesin angkat dan dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir bulan nanti.

“Penaiktarafan ini merupakan sebahagian daripada peruntukan berjumlah RM12.6 juta yang melibatkan pelbagai inisiatif penambahbaikan di kesemua 11 stesen Monorel, termasuk pemasangan sistem pintu platform automatik dan lif platform untuk kerusi roda yang telah mula beroperasi sejak Disember 2024 serta kerja-kerja pembaikan lif dan eskalator.

“Perkhidmatan Monorel telah mencatatkan purata jumlah penumpang harian sebanyak 52,000 pada tahun 2023 dengan peningkatan sebanyak 8 peratus kepada 57,000 penumpang harian pada tahun 2024,” tulis kenyataan tersebut.

Lapan lif kini beroperasi sepenuhnya di stesen-stesen; Hang Tuah dengan satu unit lif, Imbi (2), Maharajalela (2), Medan Tuanku (2) serta Raja Chulan (1)

Tambahnya, peningkatan itu menandakan pemulihan yang berterusan serta pertumbuhan positif dalam penggunaan pengangkutan awam di ibu kota. Ia turut menunjukkan keyakinan pengguna yang semakin meningkat dan Monorel kembali menjadi pilihan utama warga kota untuk perjalanan harian mereka.

“Dengan jumlah penumpang yang terus meningkat, kemudahan lif yang mesra pengguna amat penting bagi memastikan pergerakan penumpang di stesen berjalan lancar serta memberi pengalaman perjalanan yang lebih selesa dan selamat untuk semua.

“Kami amat berharap agar kemudahan lif yang telah disediakan ini dapat dimanfaatkan sebaiknya dengan keutamaan diberikan kepada golongan yang memerlukan. Rapid Rail akan terus komited dalam memastikan sistem pengangkutan awam yang efisien, mudah diakses, dan inklusif untuk semua,” katanya.- KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI