NEW ORLEANS, LOUISIANA – Seramai 10 banduan melarikan diri dari sebuah jel di New Orleans, negeri Louisiana, yang dipercayai mendapat bantuan daripada pegawai penjara, lapor saluran berita ABC News.
Tiga daripada mereka berjaya ditangkap semula oleh polis, namun tujuh orang masih bebas.
“Banduan-banduan itu didapati hilang semasa proses pengiraan penghuni dilakukan di Pusat Keadilan New Orleans pada kira-kira pukul 8.30 pagi (waktu tempatan) Jumaat lalu,” kata pegawai Pejabat Syerif Orleans, Mejar Silas Phipps.
Tambah Syerif Orleans, Susan Hutson, 10 banduan itu lolos dari penjara melalui dinding di belakang tandas pada pukul 1.01 pagi (waktu tempatan).
“Mereka kemudian lolos dari penjara melalui pintu gudang dan memanjat dinding perimeter menggunakan selimut untuk melindungi diri daripada kawat berduri,” katanya. – AGENSI