SEBERANG PERAI – Polis menahan dua daripada tiga suspek yang dipercayai menyerang seorang lelaki dengan bersenjatakan parang dalam kejadian di hadapan sebuah kedai di Jalan Raja Uda, di sini semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Superintenden C. Tharmalingam berkata, kedua-dua suspek yang berusia lingkungan 30-an itu ditahan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (IPD SPU).
Katanya, dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 7.20 malam itu, mangsa bersama rakannya sebelum itu ke lokasi kejadian untuk menikmati makanan.
“Ketika membuka pintu kereta, mangsa diserang oleh seorang lelaki yang memakai topeng dari arah belakang. Mangsa bertindak melarikan diri sebelum dilanggar kereta yang dinaiki suspek. Dia (mangsa) yang terjatuh kemudiannya diserang tiga lelaki bertopeng bersenjatakan parang.
“Mangsa terus masuk ke sebuah klinik swasta berhampiran lokasi kejadian untuk mendapatkan pertolongan,” katanya di sini, sebentar tadi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, doktor klinik berkenaan telah memberikan rawatan awal ddan menghubungi ambulans bagi membolehkan mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ).
“Mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya. -KOSMO! ONLINE