REMBAU – Sebanyak 11 kandang ayam telur yang diperbuat daripada besi dan kayu terbakar mengakibatkan kematian lebih 600,000 ternakan berkenaan di Ladang Bukit Bertam Jalan Linggi – Lubuk Cina, di sini, pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Azmi Ali berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10.40 pagi itu membabitkan ladang ternakan ayam telur berkeluasan lebih kurang 10 ekar.
Menurutnya, pengurus ladang dimaklumkan oleh pekerja api secara tiba-tiba marak di dalam kawasan kandang ayam dan telah menghubungi talian 999 untuk dapatkan bantuan.
“Pasukan bomba dan penyelamat dari Kota, Rembau, Teluk Kemang dan Rantau telah dikejarkan ke lokasi kejadian bagi membantu memadamkan kebakaran.
“Pasukan bomba telah berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak dan insiden berkenaan tidak melibatkan kecederaan atau kemalangan jiwa,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Azmi lagi, kesemua 90 orang pekerja ladang ternakan ayam telur telah dikumpulkan di tempat yang selamat dan jumlah sebenar kerugian serta punca kebakaran masih lagi dalam siasatan.- KOSMO! ONLINE