JOHOR BAHRU – Seorang penunggang motosikal wanita maut selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori ‘tipper’ di Batu 16, Sungai Tiram, Ulu Tiram, di sini pada awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd. Sohaimi Ishak berkata, kemalangan melibatkan dua buah kenderaan tersebut dilaporkan berlaku pada pukul 6.20 pagi.
Menurut beliau, kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa, 25, memasuki laluan bertentangan.
“Pemandu lori tersebut tidak sempat mengelak atau membrek lalu merempuh mangsa, mengakibatkan mangsa tercampak dan cedera parah di bahagian kepala.
“Mangsa kemudian disahkan telah meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu lori iaitu seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Sohaimi, pemeriksaan urin dibuat terhadap pemandu lori didapati negatif, manakala siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pemandu lori bagaimanapun telah ditahan bagi membantu siasatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE