fbpx

Wakaf mulut punca waris minta pampasan RM240,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAMZAH (tengah) bersama Taib (kiri) dan Mohd Hululazmi menunjukkan salinan geran sementara tanah yang menempatkan Masjid An Najwan di Kampung Pegoh, Alor Gajah, Melaka, hari ini. - Foto oleh AMRAN ALI / KOSMO!

MELAKA – Pengurusan Masjid An Najwan di Kampung Pegoh di sini mendedahkan, mereka pernah hampir kehilangan rumah ibadat itu apabila waris pewakaf menuntut hak milik tapak selepas kematian pemilik asal.

Pengerusi Masjid An Najwan, Hamzah Zakaria berkata, sebelum ini beberapa siri rundingan telah diadakan dan menemui jalan buntu apabila ahli keluarga termasuk anak, menantu dan isteri pewakaf nekad ingin mengambil semula tanah berkenaan.

“Masjid ini dibina pada tahun 1967 di atas tanah yang diwakafkan secara lisan oleh dua beradik, tetapi disebabkan tiada dokumen rasmi waris tampil menuntut hak selepas pemilik asal meninggal dunia.

“Pada awalnya, waris meminta pampasan sebanyak RM60,000, namun pada 2017, jumlah tuntutan meningkat kepada RM213,000,” katanya ketika ditemui Kosmo! bersama Timbalan Pengerusi Masjid, Taib Hasan dan Setiausaha, Mohd Hululazmi A. Aziz.

Jelasnya, isu yang berlarutan lebih dua dekad itu hanya berjaya diselesaikan selepas Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) membantu menguruskan pembelian rasmi tanah tersebut menggunakan dana infak orang ramai.

Ujarnya, kini tanah berkeluasan 0.1093 hektar itu telah didaftarkan sebagai milik wakaf dengan nombor lot sementara PT 2920 dan tidak lagi menjadi pertikaian waris.

“Satu resolusi dicapai oleh jawatankuasa masjid untuk membeli semula tanah berkenaan secara rasmi, dengan kerjasama MAIM serta pelancaran Tabung Wakaf Masjid An Najwan pada 20 November 2020.

“Alhamdulillah, walaupun ketika itu negara dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami berjaya mengumpul dana sebanyak RM240,000 hasil sumbangan orang ramai termasuk seorang individu yang menyumbang RM80,000,” katanya.

Hamzah berkata, pada tahun 2022 MAIM telah menggunakan sebahagian dana itu bagi membayar RM177,324.98 kepada pemilik tanah dan proses pemilikan secara rasmi disahkan di bawah lot sementara.

Jelas beliau lagi, Masjid An Najwan kini hanya menantikan geran kekal tanah sebelum memulakan proses pembangunan semula demi keselesaan jemaah serta kelangsungan fungsi rumah ibadat berkenaan di masa hadapan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI