BERLIN – Borussia Dortmund hanya memerlukan satu lagi kemenangan untuk melengkapkan kebangkitan dramatik dan layak ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) apabila menutup kempen Bundesliga menentang Holstein Kiel malam ini.
Pasukan kendalian Niko Kovac itu sebelum ini terperosok di tangga ke-11 dan jauh daripada kedudukan Eropah, namun kini melonjak ke tangga kelima hasil enam kemenangan dalam tujuh aksi terakhir, termasuk menewaskan Bayer Leverkusen 4-2 minggu lalu.
Dortmund kini mengumpul 54 mata, hanya satu mata di belakang Freiburg yang menduduki tempat keempat iaitu slot terakhir ke saingan UCL musim depan.
Sejak diambil alih Kovac pada Februari lalu, Dortmund tampil lebih agresif berbanding era Nuri Sahin dengan statistik menunjukkan pemainnya meliputi jarak lebih jauh dan menjaringkan 23 gol dalam tujuh aksi terakhir.
Jika Dortmund menang dengan kelebihan tiga gol atau lebih ke atas Holstein, mereka dijamin berada dalam kelompok empat terbaik tanpa mengira keputusan Freiburg menentang Eintracht Frankfurt yang kini di tangga ketiga dengan 57 mata.
Seandainya Freiburg gagal menewaskan Frankfurt, kemenangan tipis 1-0 sudah memadai buat Dortmund mencuri tempat keempat sekali gus layak ke UCL.
Sekiranya berjaya, Dortmund bakal menyamai rekod kebangkitan terbaik mereka ketika musim 1993/94.
Ketika itu, Dortmund berjaya naik dari kedudukan ke-11 ke tangga keempat dalam lapan perlawanan terakhir iaitu satu pencapaian belum pernah diulangi mana-mana pasukan dalam sejarah Bundesliga. – AGENSI