PETALING JAYA – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah berjaya melumpuhkan satu sindiket pengedaran rokok tidak bercukai dalam Operasi Taring Alpha 1 di Bandar Teknologi Kajang semalam.
Menerusi satu kenyataan di laman Facebook Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), serbuan tersebut dilakukan oleh sepasukak anggota dan pegawai daripada Cawangan Risik Batalion 4 PGA Semenyih.
Serbuan itu turut dibantu Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang.
“Hasil serbuan di dua lokasi sekitar Bandar Teknologi Kajang telah berjaya membawa kepada tangkapan tiga individu (dua warga asing dan satu tempatan) terdiri daripada seorang wanita serta dua lelaki.
“Turut dirampas 1,091 paket rokok pelbagai jenama, sebuah kereta Proton Saga, lima telefon bimbit serta beberapa peralatan lain,” kata JKDNKA.
Menurut kenyataan itu lagi, jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM101,622.10.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE