KETUA jurulatih skuad hoki lelaki negara, Sarjit Singh meluahkan rasa optimis terhadap kemunculan pemain muda yang kini mula menampilkan aksi meyakinkan selepas diberi peluang beraksi dalam siri Jelajah Australia baru-baru ini.
Menurutnya, keputusan untuk memberi lebih ruang kepada barisan muda dalam skuad utama terbukti membuahkan hasil apabila mereka menunjukkan potensi besar untuk masa depan pasukan.
“Selepas Jelajah Australia, saya dapat melihat petunjuk yang sangat positif. Pasukan ini memang memiliki potensi, cuma mereka perlukan sekarang adalah lebih banyak minit permainan dan peluang beraksi di peringkat antarabangsa,” katanya.
Sarjit turut mengakui proses penyesuaian dalam kalangan pemain muda berbeza mengikut individu kerana sesetengahnya memerlukan lebih masa untuk mendapatkan keserasian diri dengan rentak permainan antarabangsa.
“Setiap pemain muda mempunyai kadar penyesuaian berbeza. Penting untuk kita beri ruang dan masa agar mereka dapat berkembang dengan lebih baik,” jelasnya.
Beliau turut menekankan keperluan untuk mengekalkan prestasi secara konsisten bagi memastikan lebih ramai pemain muda dapat diserap secara kekal dalam skuad utama pada masa depan.
Sebagai langkah terakhir mengharungi cabaran di Piala Negara-Negara FIH bulan depan, skuad kebangsaan bakal menjalani siri perlawanan persahabatan di Korea Selatan bermula esok hingga 29 Mei ini.
Jelajah tersebut turut mendapat tajaan penuh daripada Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Korea Selatan, sekaligus menjadi simbol penghargaan terhadap pencapaian pasukan negara di persada antarabangsa.















