fbpx

Ramai nak bantu bayar jaminan pemandu lori rempuh trak FRU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang ramai meluahkan hasrat ingin membantu membayar wang jaminan yang ditetapkan ke atas pemandu lori muatan batu selepas dia didakwa atas sembilan pertuduhan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

PETALING JAYA – Insiden sebuah lori muatan batu yang merempuh trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan pada 13 Mei lalu mencetuskan pelbagai reaksi daripada masyarakat, termasuk gelombang sokongan terhadap pemandu lori tersebut yang kini dipenjara selepas gagal membayar wang jaminan.

Pemandu terbabit, Rudi Zulkarnain Mat Radi, 45, gagal membayar wang jaminan berjumlah RM6,000 atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian sembilan anggota FRU seperti ditetapkan Mahkamah Majistret.

Dalam kes itu, tertuduh, mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan yang dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Namun, tinjauan Kosmo! di media sosial mendapati, ramai netizen tampil menyatakan hasrat untuk membantu membayar wang jaminan pemandu terbabit agar dia dapat dibebaskan kerana mereka berpendapat tertuduh tidak bersalah sepenuhnya.

“Tolong, macam mana saya nak dapatkan pak cik ini saya nak jamin dia. Dia ditahan dipenjara mana? Tolong saya dapatkan maklumat pak cik ini,” kata @sickroses.

“Untuk yang bertanya tentang tabung, kami sebagai orang kampung dengan pemandu lori ini tengah berbincang dengan ketua kampung untuk buka tabung, sebab pemandu lori ini sebatang kara,” kata Mr. Fizey.

“Buka tabung, kami nak bantu pak cik ini seorang sedikit,” kata Rina Iwan.

Terdahulu, tertuduh didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian kepada S Perumal, 44, Mohd Roslan Abd Rahim, 46, Mohd Pozli Jaudin, 41, Nurit Pandak, 34, Amiruddin Zabri, 38, Mohamad Hilmi Mohd Azlan, 38, Muhamad Akmal Muhamad, 35, Damarrulan Abdul Latif, 33, dan Akmal Wafi Annuar, 28.

Hakim Norhamizah Shaiffudin membenarkan wang jaminan sebanyak RM6,000 bagi semua pertuduhan dengan syarat tambahan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes di mahkamah selesai selain melapor diri di balai polis setiap minggu.

Sebutan semula kes dan lantikan peguam ditetapkan pada 17 Jun depan. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI