fbpx

Piala Asia: Malaysia ke separuh akhir selaku juara kumpulan B

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AKSI pemain Malaysia, Azlan Alias melakukan libasan ketika menentang Korea dalam acara regu berpasukan pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia di Stadium Titiwangsa hari ini. - SYAKIR RADIN

KUALA LUMPUR – Selangkah sahaja lagi buat pasukan sepak takraw kebangsaan untuk ke perlawanan akhir pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 selepas melangkah ke pusingan separuh akhir hari ini.

Lebih manis, Malaysia juga mara ke ke pusingan kalah mati selaku juara Kumpulan B selepas menang ketiga-tiga perlawanan menentang Brunei, Jepun dan Korea Selatan.

Pada aksi terakhir peringkat kumpulan menentang Korea Selatan di Stadium Titiwangsa sebentar tadi, pasukan negara tidak berdepan masalah apabila menang mudah 3-0, sekali gus dinobatkan juara kumpulan.

Ketua jurulatih pasukan negara, Ahmad Jais Baharun berharap rentak kemenangan itu dapat dikekalkan menjelang separuh akhir esok selain pemain-pemain perlu memperkemaskan lagi mana-mana kelemahan yang ada.

“Kalau tengok dari segi prestasi, aksi pemain-pemain kita pada perlawanan hari ini memang ada peningkatan dan kita harap momentum itu dapat diteruskan untuk perlawanan separuh akhir esok.

“Pemain-pemain kita apabila menang set pertama, mereka agak kendur di set kedua. Itu antara elemen yang kita kena pastikan supaya pemain-pemain lebih fokus untuk perlawanan seterusnya,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Pada perlawanan hari ini, regu pertama negara yang dibarisi tekong, Haziq Hairul Nizam, Azlan Alias (apit kanan) dan Farhan Adam (apit kiri) menang 15-6, 15-9 ke atas gandingan Cheon Dong Ryung, Seon Woo Young Su dan Oh Dae Yang.

Momentum itu diteruskan Muhammad Syahir Rosdi (tekong), Muhammad Shahalril Aiman Halim (apit kanan) dan Amirul Zazwan Amir (apit kiri) yang turun selaku regu kedua menewaskan Seo Seungbeom, Lee Junuk dan Kim Young Cheol 15-6, 15-11.

Malaysia melengkapkan kemenangan menerusi regu ketiga, Zulkifli Razak (tekong), Afifuddin Razali (apit kanan) dan Aidil Aiman Azwawi (apit kiri) yang menang 15-8, 15-7 ke atas Nam Sang Hun, Shin Hee Seop dan Kin Jung Man.

Menjelang aksi separuh akhir esok, pasukan negara akan menantikan naib juara Kumpulan A yang bakal ditentukan menerusi pertemuan antara Thailand dan India malam ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI