fbpx

Pesara polis maut, Perodua Kancil bertembung Myvi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kereta Perodua Kancil yang terlibat dalam kemalangan maut meragut nyawa Che Shafie di Jalan Kampung Beladau Kolam, Kuala Terengganu hari ini.

KUALA TERENGGANU – Seorang pesara polis maut, manakala isterinya cedera selepas kereta Perodua Kancil dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta Perodua Myvi di Jalan Kampung Beladau Kolam di sini hari ini.

Dalam kemalangan pukul 1.35 tengah hari itu, mangsa, Che Shafie Che Noh, 75, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.

Isterinya, Asma Harun, 73, pula mengalami kecederaan pada bahagian leher.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, sewaktu kejadian, pasangan warga emas itu dikatakan dalam perjalanan pulang rumah mereka di Kampung Padang Macang, Manir dari Pasar Besar Kedai Payang di sini.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Peroda Kancil dipandu mangsa (Che Shafie) dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu memasuki laluan pertentangan.

“Kenderaan itu kemudiannya merempuh sebuah kereta Perodua Myvi dinaiki tiga sekeluarga secara berhadapan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Azli berkata, mayat Che Shafie telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, Asma pula dikejarkan ke unit kecemasan hospital sama untuk menerima rawatan.

“Tiga sekeluarga yang menaiki kerera Perodua Myvi pula terselamat tanpa sebarang kecederaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI