TAIPEI – Sejumlah penumpang yang menuju ke Pulau Kinmen, Taiwan cemas apabila melihat enjin pesawat mereka terbuka selepas penutupnya tertanggal di ruang udara, lapor portal berita MailOnline semalam.
Kejadian berlaku sejurus selepas pesawat jenis ATR 72-600 itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kaohsiung pagi semalam.
Seorang penumpang yang ketakutan berkata: “Tidak lama selepas berlepas, pesawat mula bergegar. Semua orang memandang ke luar tingkap dan mula menjerit memanggil kru penerbangan.
“Bahagian yang paling menakutkan ialah kru penerbangan tidak berkata apa-apa tetapi matanya kelihatan ketakutan. Itu lebih menakutkan saya.”
Juruterbang dengan cepat mengisytiharkan kecemasan, manakala pesawat itu kembali semula ke lapangan terbang tersebut di mana ia mendarat dengan selamat.
Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian. – AGENSI