PATTAYA – Kedatangan pelancong Israel di Thailand semakin meningkat dan menggantikan kehadiran pelawat China yang kian merosot, lapor portal berita Pattaya Mail hari ini.
Menurut Kementerian Pelancongan dan Sukan, dari 1 Januari hingga 11 Mei lalu, Thailand menyambut ketibaan 12.95 juta pelancong antarabangsa, penurunan 1.04 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Faktor utama di sebalik penurunan itu ialah kemerosotan mendadak pelancong China yang pernah menjadi sumber utama industri pelancongan negara itu.
Bagaimanapun, pelancong Israel semakin mengisi jurang tersebut.
Data Pejabat Promosi Perdagangan Thailand di Tel Aviv menunjukkan bahawa Thailand menduduki tempat ke-15 dalam kalangan destinasi pelancongan asing Israel pada tahun 2024.
KResearch meramalkan 350,000 pelancong Israel akan melawat Thailand pada tahun ini, peningkatan 25 peratus daripada tahun lepas. – AGENSI