SETIU – Mayat pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang dihanyutkan arus deras dalam kejadian kepala air di Lata Payung di sini telah ditemui sebentar tadi.
Mayat Abed Mifzal Azman, 22, yang merupakan pelajar tahun satu Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kewangan Islam) dijumpai pada pukul 9.30 malam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Setiu, Mohd. Sarizan Mohammad Sapawi berkata, mayat mangsa ditemukan tersangkut pada celah batuan di kawasan air terjun tersebut.
“Mayat mangsa ditemui penduduk kampung yang turut membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Kedudukan mayat ditemukan kira-kira satu kilometer dari lokasi dia kali terakhir dilihat sebelum dihanyutkan arus deras,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Lata Payung di sini hari ini.
Mohd. Sarizan berkata, pasukan SAR mengambil masa kira-kira 15 minit untuk membawa mayat Abed Mifzal naik ke tebing sungai terdekat setinggi kira-kira 2.5 meter.
Beliau berkata, mayat pelajar itu telah diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, Abed Mifzal dihanyutkan arus deras ekoran fenomena kepala air yang melanda kawasan air terjun itu pada pukul 5.15 petang.- KOSMO! ONLINE