PETALING JAYA – “Kemalangan depan? Dia tahan. Langgar tepi? Dia peluk. Terbalik? Dia genggam erat. Kereta berputar? Dia tak lepaskan.”
Demikian perumpamaan menggambarkan pentingnya penggunaan tali pinggang keledar dalam melindungi penumpangnya di dalam kenderaan.
Meskipun ramai mengeluh mengenai rasa tidak selesa, panas atau rimas memakainya, Public Health Malaysia (PHM) berkongsi fakta kajian yang menunjukkan bahawa pemakaian tali pinggang keledar boleh mengurangkan risiko kematian dalam kemalangan jalan raya sehingga hampir 50 peratus.
“Hanya dengan satu klik, nyawa boleh diselamatkan.
“Tali pinggang keledar bukan aksesori. Ia adalah perisai. Sama ada pemandu, penumpang atau si kecil di kerusi belakang semua layak untuk selamat,” kongsi PHM.
Terdahulu, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) telah berkongsi segmen peringatan trafik menerusi Facebook rasminya mengenai kepentingan memakai tali pinggang keledar.
“Sikap cuai dengan tidak memakai tali pinggang keledar adalah punca utama individu itu berisiko kehilangan nyawa selain mendapat kecederaan parah termasuk penumpang yang duduk di bahagian belakang, sekiranya terlibat dalam kemalangan jalan raya.
“Bahkan, mereka yang tidak memakai tali pinggang keledar semasa memandu boleh dikompaun di bawah Kaedah-Kaedah Kereta Bermotor (Tali Pinggang Keledar) (PU (A) 378/1978 004),” kata JSPT. – KOSMO! ONLINE