PUTRAJAYA – Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut selepas terjatuh dari tingkat tujuh di sebuah perumahan awam dekat Presint 9 di sini petang tadi.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya menerima laporan insiden itu kira-kira pukul 2.24 petang tadi daripada petugas di wad kecemasan Hospital Putrajaya.
“Mereka mengatakan telah menerima kes seorang kanak-kanak lelaki berusia lingkungan dua tahun dalam keadaan berlumuran darah yang dibawa oleh bapanya.
“Pemeriksaan dijalankan ke atas kanak-kanak tersebut dan mendapati mangsa telah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini tadi.
Katanya, siasatan awal mendapati kanak-kanak tersebut telah jatuh dari Tingkat 7 di sebuah perumahan awam di Presint 9, Putrajaya.
“Bedah siasat akan dijalankan esok kira-kira pukul 8 pagi.
“Ketika ini, kes tersebut masih dalam siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE