HAMPIR enam tahun turun naik mahkamah atas pelbagai kes yang difailkan bekas suami, Bruce Dargus, hanya iman serta sokongan keluarga menyuntik semangat pelakon Betty Banafe untuk terus berjuang selagi ada kudrat dikandung badan.
Sepanjang tempoh tersebut bukan sedikit wangnya lebur bagi membiaya urusan mahkamah. Banyak masa dihabiskan setiap kali lelaki yang pernah sebantal dengannya memfailkan kes baharu atau sebutan dibaca.
Demi akidah dua permata hati, Julia Claire Dargus dan Bruce Dean Dargus, segala onak duri ditempuh dengan tabah walau kadangkala hanya kamar suram menjadi saksi tangisannya tatkala solat memohon pelindungan Allah.
Bermula dengan isu hadanah menuntut hak penjagaan yang sekali gus membolehkan si bapa membawa anak-anak tinggal bersama di Amerika Syarikat (AS) hingga beberapa kes interim perlu dihadap, sedangkan Bruce tidak pernah muncul ketika sebutan, semua itu bertubi-tubi mendera emosi Betty.
“Saya tertanya-tanya tujuan bekas suami membuka satu persatu fail kes mahkamah sehingga hampir setiap bulan saya perlu hadir mendengar sebutan.
“Bagaimana saya nak mencari nafkah untuk menyara anak-anak? Saya ibu tunggal. Emosi saya didera dengan kesibukan ke mahkamah, sesuatu yang tidak saya jangkakan kerana perceraian pada 10 Julai 2019 atas persetujuan bersama.
“Di mana perikemanusiaan seorang lelaki yang hidup dengan saya selama tujuh tahun. Kenapa dia tidak hadir walhal dia yang buat tuduhan?
“Sepatutnya tuntutan itu digugurkan. Apabila tetap diteruskan, ibarat dibunuh berkali-kali, tetapi saya tidak mati,” luahnya dengan mata berkaca.

Jaga aib
Bercerita lanjut, pemilik nama lengkap Betty Ibtisam Abu Bakar Banafee mengakui perceraian dengan Bruce diputuskan secara baik-baik sahaja selepas tiada lagi persefahaman. Aib dalam rumah tangga yang dibina sejak 2012 juga disimpan rapi agar anak-anak tidak membaca perseteruan ibu bapa mereka suatu hari nanti.
Bukan hanya orang sekeliling, rakan baiknya, Erra Fazira dan Zahidah Rafiq juga hanya mengetahui perpisahan dilalui Betty pada hari perceraian disahkan, sekali gus membuktikan cerita dalam kain sesuatu yang tidak dihebohkan.
“Sebaik bergelar isteri saya korbankan kerjaya seni. Segalanya untuk keluarga, jadi biar apa pun bekas suami lakukan, saya tidak bercerita, terutama mengenai perpisahan kami, apatah lagi mendedahkan isu dalaman yang pernah terjadi sebelum ini.
“Cukuplah andai saya katakan setakat itu jodoh kami. Cuma sayangnya, harapan saya ‘menyimpan’ kisah kami hampir musnah selepas berbelas kes difailkan Bruce, walhal soal anak tiada isu pun kerana ketika masih kecil. Biarlah mereka bawah jagaan saya.
“Bukan dia tidak boleh jumpa anak, saya tetap beri ruang bahkan ibu bapa mentua yang tinggal di Kuala Lumpur dapat bertemu dan bermalam dengan cucu mereka,” kongsi Betty.

Tanggung kos
Tidak dapat menahan tangis, air mata penyanyi asal Johor itu tumpah jua tatkala mengenang cabaran membesarkan permata hati yang kini sudah berusia 10 dan 12 tahun.
Persekolahan serta keperluan harian memerlukan kos tinggi seiring peningkatan usia. Mujurlah ada adik-beradik sudi membantu.
“Sejak Bruce failkan kes di mahkamah, nafkah bulanan anak dibayar mengikut waktu tetapi dengan kos sara hidup yang tinggi memang tidak cukup.
“Saya bersyukur apabila abang dan adik saya banyak membantu dari segi sokongan moral serta kewangan.
“Orang nampak saya hidup senang tapi tak tahu saya bergolok gadai demi menampung kos mahkamah.
“Naik sahaja mahkamah perlukan duit.
“Agaknya tanpa bantuan keluarga, tak tahulah kami tinggal di mana. Menerusi sokongan mereka saya bangkit daripada terus berendam air mata,” katanya yang kini membantu perniagaan keluarga, Banafee Mart.

Akui wanita berjiwa kental itu, kerja kebajikan sejak bertahun-tahun lalu juga menjadi terapi untuk meredakan lelah berdepan kemelut tidak berkesudahan.
Bersyukur masih diberi kekuatan untuk membantu insan memerlukan, selebriti berusia 45 tahun itu berharap semangatnya tidak luntur dan terus diberi kekuatan untuk berjuang.
“Allah beri saya jalan ketenangan. Ketika berasakan diri dizalimi sistem perundangan syariah negara sendiri, hadir sokongan daripada insan sekeliling.
“Saya masih diberikan kudrat buat kebajikan, dilorongkan rezeki beri anak-anak makan dan tempat berlindung, hadir ke mahkamah untuk sebutan kes yang entah ke berapa kalinya.
“Doakan saya terus kuat. Buat masa ini saya hanya mahu terapkan ilmu agama dan kukuhkan iman di jiwa anak-anak.
“Apabila mereka kukuh iman dan akidah, besar nanti jika mereka pilih bersama ayah mereka, saya yakin mereka tidak akan tersasar,” ungkapnya.
