KUALA LUMPUR – Kejayaan skuad boling padang negara mempertahankan gelaran juara keseluruhan Kejohanan Boling Padang Asia 2025 di Clark, Filipina baru-baru ini bakal diraikan menerusi pemberian insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) dan skim berkaitan yang kini dalam proses kelulusan.
Pasukan negara menutup kempen yang berlangsung dari 27 April hingga 16 Mei lalu dengan pungutan tujuh pingat emas, dua perak dan satu gangsa sekali gus mengekalkan status selaku kuasa besar boling padang Asia.
Berdasarkan rekod terdahulu, pemberian SHAKAM dan dua skim lain iaitu Skim Galakan Jurulatih (SGAR) serta Skim Hadiah Kemenangan Atlet Remaja (SHAKAR) diagihkan setiap tahun bagi menghargai pencapaian atlet dan jurulatih yang cemerlang.
Pada tahun 2023, atlet dan jurulatih boling padang menerima jumlah keseluruhan RM103,050, manakala pada tahun 2024 nilai agihan adalah RM58,560 dan jumlah bayaran berubah mengikut bilangan penerima dan prestasi semasa pasukan negara.
Bagi tahun 2025, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memaklumkan dokumen pengesahan pencapaian telah diterima daripada Majlis Sukan Negara (MSN) pada 16 Mei lalu dan proses kelulusan serta agihan kini sedang dijalankan.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ketika ditemui media semasa Fiesta Boling Padang di Arena Boling Padang, Bukit Kiara hari ini mengesahkan senarai penerima telah disediakan dan bayaran akan disalurkan selepas semua proses dimuktamadkan.
“Senarai penerima ada pada pihak MSN dan ia akan disalurkan selepas semua proses dilengkapkan,” katanya.
Sementara itu, Hannah turut memaklumkan Malaysia telah dipilih sebagai tuan rumah Piala Dunia Boling Padang 2025 yang akan berlangsung pada 4 hingga 8 November ini di Kuala Lumpur.
Beliau berkata, penganjuran julung kali itu merupakan pengiktirafan besar kepada pembangunan sukan boling padang negara serta membuka peluang lebih luas kepada atlet tempatan bertanding di pentas dunia. – KOSMO! ONLINE