GUA MUSANG – Seorang guru besar di Sekolah Kebangsaan (SK) Balar di Pos Balar di sini, berulang-alik selama 12 jam setiap minggu dengan masuk dan keluar dari kawasan tersebut untuk pulang ke rumah keluarganya di Machang.
Rintangan meredah bukit bukau, hutan dan sungai tidak mematahkan semangat Mohd. Fadzeli Ibrahim, 48, untuk terus berbakti kepada seramai 300 murid Orang Asli suku kaum Temiar di sekolah tersebut.
Mohd. Fadzeli berkata, dia dan beberapa guru di sekolah itu berkonvoi dengan motosikal sejauh 60 kilometer dari simpang Kuala Betis ke Pos Balar pada hari Sabtu sebelum hari persekolahan pada Ahad.
Menurutnya, dia akan bergerak pulang ke Machang pada petang Khamis dan perlu menempuh perjalanan selama hampir 12 jam untuk keluar dari Pos Balar.
“Saya akan pulang secara berkonvoi dengan beberapa guru dengan menunggang motosikal pada waktu malam untuk bertemu keluarga masing-masing.
“Selain tanggungjawab di sekolah, saya juga merupakan bapa kepada dua anak berusia 14 dan 19 tahun. Saya sanggup meredah perjalanan jauh semata-mata untuk pulang bersama keluarga,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Mohd. Fadzeli berkata, dia dan beberapa guru pernah terserempak dengan haiwan liar dan terpaksa menghentikan perjalanan selama beberapa jam kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini.
Menurutnya yang mengajar mata pelajaran sains, daripada aspek pembelajaran murid Orang Asli, hanya sesetengah daripada mereka yang sudah boleh membaca, menulis dan mengira.
Katanya, kebanyakan guru yang mengajar di SK Balar berasal dari Gua Musang, Kota Bharu, Bachok dan Tanah Merah.
“Kerja jadi guru kena ikhlas barulah semua dugaan jadi senang,” ujarnya.














