KUALA LUMPUR – Perejam muda sepak takraw negara, Khairul Aman Mohd. Rosdi dikejarkan ke hospital selepas dilaporkan mengalami masalah kesihatan ketika perlawanan menentang Jepun, sebentar tadi.
Pemain berusia 22 tahun dari Terengganu itu pada awalnya disenaraikan dalam skuad regu kedua negara bersama Muhammad Haziq Hairul Nizam (tekong) dan Farhan Adam (apit kiri), namun tidak sempat beraksi apabila dikeluarkan sebelum perlawanan bermula dan digantikan dengan Muhammad Noraizat Mohd. Nordin.
Meskipun berlaku pertukaran saat akhir, regu kedua negara tetap cemerlang apabila mencatat kemenangan bergaya straight set 15-8, 15-9.
Ketua jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun mengesahkan Khairul Aman kini dalam pemantauan rapi di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan tidak akan diturunkan untuk aksi terakhir Kumpulan B menentang Korea Selatan esok.
“Khairul Aman sedang dikejarkan ke hospital tadi setelah mengalami masalah kesihatan. Jadi kita doakan yang terbaik dan semoga dia cepat sembuh.
“Setakat ini, dia tidak cergas untuk diturunkan pada perlawanan esok. Kita tunggu laporan rasmi dari pihak hospital untuk mengetahui keadaannya dengan lebih jelas,” katanya kepada Kosmo!.
Ahmad Jais turut memaklumkan bahawa pegawai kesihatan sedang memantau rapi keadaan Khairul dan sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Malaysia kini mendahului Kumpulan B selepas mencatat dua kemenangan bersih ke atas Brunei dan Jepun, dan bakal turun menentang Korea Selatan untuk menentukan status selaku juara kumpulan sekali gus mengintai laluan lebih mudah ke separuh akhir. -KOSMO! ONLINE