fbpx

‘100 missed call, rakan datang rumah beritahu isteri kemalangan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd Izham dan anaknya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka pagi tadi.

MELAKA – Suami Allahyarham Sarjan Penjara, Amal Nurlidar Ghazali, 42, yang maut dilanggar lori pembancuh simen di Sungai Udang di sini semalam memaklumkan isterinya menunjukkan perubahan kira-kira dua minggu sebelum ‘pergi’.

Mohd Izham Rosly, 46, yang bertugas di Pusat Koreksional Jasin berkata, perubahan itu dianggap luar biasa kerana selama ini isterinya tidak pernah berbuat demikian sepanjang perkahwinan mereka.

“Biasanya kalau pergi kerja, kami bersalaman dan saya cium tangan dia, tapi sejak dua minggu lalu, dia minta saya cium dahi setiap kali sebelum keluar rumah.

“Saya fikir dia mahu bermanja, rupa-rupanya dia akan pergi selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka di sini pagi tadi.

Menurut Mohd Izham, nahas berlaku ketika arwah yang bertugas di Penjara Dusun Dato’ Murad, Ayer Keroh dalam perjalanan pulang ke rumah di Sungai Udang.

Katanya, ketika kejadian dia baru pulang dari tempat kerja pada pukul 4 petang, malah sempat tertidur tanpa menyedari telefon bimbitnya yang berada dalam mod senyap berdering tanpa henti.

“Bila tersedar pada pukul 6.30 petang, saya lihat ada lebih 100 panggilan tidak dijawab. Rakan-rakan dan jiran datang (ke rumah) beritahu isteri terbabit dalam kemalangan.

“Saya bergegas ke lokasi kejadian tapi polis tidak benarkan saya mendekati isteri,” katanya.

Pasangan itu dikurniakan tiga anak lelaki berusia 13 hingga 17 tahun. Kesemua mereka tinggal di asrama di Melaka dan Pulau Pinang.

“Kami tinggal berdua di rumah sejak anak-anak masuk asrama. Kehidupan saya selepas ini pasti sunyi. Selalunya arwah isteri yang menemani saya setiap hari, sekarang saya tinggal seorang,” katanya.

Mohd Izham berkata, meskipun reda dengan takdir pemergian isteri tercinta, dia tetap berasa terkilan kerana kemalangan tersebut berlaku dipercayai akibat kecuaian manusia.

“Saya dimaklumkan sistem brek lori tidak berfungsi dengan baik. Sekiranya pemandu berhati-hati atau kenderaan diselenggara, mungkin kemalangan ini boleh dielakkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI