ROM – Bintang tenis No. 1 dunia, Aryna Sabalenka gagal mengawal emosi apabila bertindak mengeluarkan kata-kata kesat kepada seorang penonton ketika tewas kepada Qinwen Zheng dari China pada suku akhir Terbuka Itali awal pagi semalam.
Dalam perlawanan berlangsung di Foro Italico, Rom itu, Zheng mencatat kemenangan straight set 6-4, 6-3 untuk menamatkan rekod tanpa kemenangan dalam enam pertemuan terdahulu menentang Sabalenka.
Insiden tersebut berlaku pada permulaan set kedua ketika Zheng mendahului perlawanan, seorang penonton menjerit kepada Sabalenka agar bermain dengan baik menyebabkan dia membalas dengan ungkapan berbaur lucah.
Tindakan tersebut menyaksikan pemain dari Belarus itu diberikan kod penalti oleh pengadil kerana menggunakan bahasa kesat yang boleh didengari semua penonton di gelanggang.
Zheng, 22, mempamerkan aksi meyakinkan dalam perlawanan tersebut biarpun sebelum itu dibelenggu kecederaan tangan.
“Saya tidak bermain di tahap terbaik pada awal musim kerana masalah lengan, namun kini saya berada dalam keadaan fizikal yang baik dan cuba untuk terus meningkatkan permainan,” kata Zheng yang juga pemenang pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024.
Kekalahan itu memberi tamparan kepada Sabalenka yang masih belum pernah melepasi separuh akhir Terbuka Itali dengan hanya tiga daripada 20 kejuaraan dimenanginya hadir dari gelanggang tanah liat.
Sabalenka kini mempunyai masa untuk membuat penilaian sama ada terus beraksi menjelang Roland Garros atau memilih untuk berehat sebelum Grand Slam kedua musim ini bermula. – AGENSI