SKUAD sepak takraw negara sudah bersedia sepenuhnya untuk menggempur Piala Asia 2025 dengan misi utama menamatkan kemarau kejuaraan dalam acara regu berpasukan.
Kali terakhir Malaysia merangkul gelaran itu pada Sukan SEA 1991 di Manila, Filipina dan sejak lebih tiga dekad lalu, skuad negara terus tercari-cari formula untuk menumbangkan dominasi musuh tradisi, Thailand.
Malah, skuad negara sudah dua kali hampir mencipta sejarah mara ke final Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Kuala Lumpur dan Piala Raja Thai tahun lalu, namun impian itu terkubur apabila tewas di tangan pasukan Gajah Perang.
Kali ini menerusi barisan pemain dikatakan paling lengkap, Malaysia tampil lebih bersedia terutama tekong muda seperti Haziq Hairul Nizam dan perejam, Khairul Aman Mohd. Rosdi dilihat mampu mencipta kejutan.
Perejam utama negara, Azlan Alias yakin pasukan bimbingan Ahmad Jais Baharun mampu menggalas cabaran getir kali ini.
“Kita dah bersedia untuk turun bertanding. Rakan sepasukan semua dalam keadaan terbaik, sudah ‘gear 5’ dan tak sabar masuk gelanggang,” katanya.
Menurut Azlan, setiap perlawanan akan diambil serius dan tumpuan penuh diberikan agar misi kali ini tidak kecundang sekali lagi.
“Kami fokus satu demi satu perlawanan dan bagi saya, kekuatan kali ini lebih seimbang. Semua pemain dah jalani latihan rapi dan tahu apa peranan masing-masing.
“Tekanan itu ada, terutama bila jumpa Thailand tetapi itu bukan alasan. Kita kena lawan diri sendiri dulu. Kalau mental kuat, kita mampu hadapi Thailand,” ujarnya.
Setakat ini, Malaysia sudah berjaya menggenggam kejuaraan dalam acara kuadran, namun terlepas peluang dalam double selepas kecundang kepada Thailand di pentas final.
Untuk saingan regu berpasukan kali ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Korea Selatan, Jepun dan Brunei.
Dua perlawanan awal menentang Brunei dan Jepun hari ini, manakala aksi terakhir kumpulan menentang Korea Selatan dijadualkan esok.