fbpx

Petugas media TH ‘panjangkan’ sedekah dari Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Petugas media TH mengedarkan pek sarapan kepada jemaah di Abraj Al Janadriyah, Mekah hari ini.

MEKAH – Petugas Media Tabung Haji (TH) di Tanah Suci mengedarkan lebih 800 pek makanan hasil derma rakan, saudara-mara dan jemaah haji sendiri untuk program ‘sabil’ sarapan di Abraj Al Janadriyah, di sini hari ini.

Semua pek makanan seperti nasi lemak, bihun goreng, mi goreng, laksam dan air minuman tersebut diedarkan bermula pukul 6 pagi dan selesai kira-kira 40 minit kemudian.

Pengarah Operasi Media TH, Mohamad Naser Jaafar berkata, ini merupakan kali pertama pasukan media ini mengadakan program bersedekah sebegini untuk mengagihkan makanan kepada jemaah.

“Alhamdulillah hari ini kita telah selesai buat ‘sabil’ daripada petugas media selepas kita berjaya mengumpul lebih 5,000 Riyal Saudi.

“Hari ini juga kita dapat edarkan lebih daripada 800 pek sarapan kepada jemaah haji yang menetap di Abraj Al Janadriyah.

“Duit ‘sabil’ ini ada juga yang diberikan oleh sahabat-sahabat, saudara-mara yang berada di Malaysia yang dikirimkan kepada petugas media. Semoga sedekah ini menjadi amal jariah kepada penyumbang dan insya-Allah dimakbulkanlah doa-doa,” katanya selepas program tersebut di sini hari ini.

Wartawan RTM, Rozaihan Abdul Rahim berkata, ini adalah usaha kecil pasukan petugas media TH untuk menyalurkan sumbangan wang tunai yang diinfakkan oleh pemberi-pemberi dari tanah air.

“Semoga pemberi-pemberi diberikan ganjaran pahala lebih-lebih lagi program ini mengambil berkat hari Jumaat. Alhamdulillah kita berjaya mengumpul dana tersebut melalui program yang dirancang hanya dua hari,” katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Media Sosial Sinar Harian, Nur Farhana Abdul Manan berkata, keceriaan jelas terpancar daripada riak wajah jemaah-jemaah ketika menerima sumbangan kecil daripada petugas media.

“Kami rasa bersyukur kerana program ini mendapat sambutan menggalakkan. Semoga pemberi-pemberi wang ‘sabil’ ini dikurniakan keberkatan dunia dan akhirat,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI