fbpx

Penganggur hidup mewah guna syarikat kurier edar dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hamzah (gambar) pada sidang akhbar tangkapan dan rampasan dadah di IPK Pulau Pinang, petang tadi.

GEORGE TOWN – Taktik licik seorang penganggur yang hidup mewah dengan mengedar dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) menggunakan syarikat perkhidmatan kurier ke seluruh negara akhirnya terbongkar selepas dia ditahan polis di Butterworth, semalam.

Dalam operasi tersebut, polis turut merampas pelbagai jenis dadah antaranya serbuk MDMA, ketamin, pil ekstasi dan Erimin 5, selain peralatan memproses dadah yang dianggarkan bernilai lebih RM2.1 juta.

Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad, dalam operasi bermula kira-kira pukul 9 pagi itu, suspek lelaki tempatan berusia 41 tahun ditahan di kawasan parkir sebuah pangsapuri dipercayai digunakan sebagai lokasi simpanan dan pemprosesan dadah.

”Suspek dipercayai menggunakan pelbagai perkhidmatan kurier untuk menghantar bekalan dadah MDMA kepada pelanggan di seluruh negara dan dipercayai aktif sejak hujung tahun lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Hamzah berkata, antara rampasan termasuk tiga bungkusan serbuk MDMA seberat 3.92 kilogram, serta beberapa kotak kurier yang disembunyikan dengan rapi menggunakan bungkusan eksklusif seolah-olah barang bernilai.

”Polis turut merampas 50 keping aluminium foil mengandungi pil Erimin 5, tiga peket pil ekstasi berwarna serta dadah ketamin seberat 384 gram.

”Modus operandi sindiket ini adalah dengan membungkus dadah dalam kotak-kotak yang kelihatan seperti barangan bernilai sebelum dihantar menggunakan khidmat kurier ke seluruh negara,” katanya keseluruhan rampasan boleh digunakan oleh kira-kira 400,000 orang pengguna dadah.

Jelasnya, suspek dikenal pasti bertindak sebagai pembekal utama dengan menjalankan proses sendiri dan pembungkusan semula sebelum penghantaran.

”Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah serta mempunyai rekod lampau membabitkan kes jenayah,” katanya.

Hamzah berkata, suspek direman selama tujuh hari sehingga 22 Mei ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

”Polis turut menyita pelbagai aset suspek di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan nilai keseluruhan sitaan berjumlah RM170,882 termasuk sebuah kereta mewah Mercedes-Benz barang kemas dan wang tunai,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI