fbpx

Pemandu lori batu langgar FRU hadapi 9 pertuduhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemandu lori muatan batu yang terlibat dalam nahas mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Selasa lalu, tiba di Mahkamah Teluk Intan hari ini. Foto MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

TELUK INTAN – Pemandu lori muatan batu yang memandu secara berbahaya hingga mengakibatkan kematian sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Selasa lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tertuduh, Rudi Zulkarnain Mat Radi, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas sembilan pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Norhamizah Shaiffuddin yang bertindak sebagai Majistret.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang masih bujang itu didakwa telah memandu lori secara berbahaya hingga menyebabkan kematian kepada S. Perumal, 44; Mohd. Roslan Abdul Rahim, 46; Mohd. Pozli Jaudin, 41; Nurit Pandak, 34; Amiruddin Zabri, 38; Mohamad Hilmi Mohd. Azlan, 38; Muhamad Akmal Muhamad, 35; Damarrulan Abdul Latif, 33, dan Akmal Wafi Annuar, 28.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 15, Jalan Sungai Manik di daerah Hilir Perak pada pukul 9 pagi, 13 Mei 2025.

Pendakwaan terhadap tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan maksimum RM50,000.

Tertuduh juga boleh hilang kelayakan daripada memegang dan mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak lebih lima tahun dari tarikh sabitan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Izzuddin Fakri Hamdan mencadangkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan beserta syarat tambahan lesen memandunya digantung sehingga kes selesai di mahkamah selain perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap minggu.

Bagaimanapun, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Francis Sinnappan memohon jumlah jaminan minimum atas alasan anak guamnya bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan bulanan RM2,000 selain menghidap penyakit asma.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 bagi semua pertuduhan beserta syarat tambahan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 17 Jun depan untuk lantikan peguam dan serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI