SETIU – Seorang pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras berikutan fenomena kepala air di kawasan air terjun, Lata Payung di sini hari ini.
Kejadian menimpa Abed Mifzal Azman, 22, yang merupakan pelajar jurusan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kewangan Islam) terbabit berlaku pada pukul 5.15 petang.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Mohd. Zain Mat Dris berkata, sewaktu kejadian, mangsa dikatakan berkelah bersama enam rakannya di Lata Payung.
“Kejadian kepala air tiba-tiba berlaku menyebabkan mangsa (Abed Mifzal) turut dihanyutkan arus deras.
“Mangsa dikatakan cuba menyelamatkan diri dengan berlindung di atas batu di tebing sungai terbabit tetapi kepala air terlalu besar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Lata Payung di sini semalam.
Mohd. Zain berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa sedang giat dilakukan dengan kekuatan 26 pegawai dan anggota pasukan penyelamat. – KOSMO! ONLINE