KUANTAN – Mayat pekerja restoran yang dihanyutkan arus deras ketika mandi di kawasan perkelahan Pasir Puteri, Sungai Lembing di sini ditemukan kira-kira pukul 10 pagi tadi.
Mangsa, Wan Izani Wan Mohd. Samsudin, 29, ditemukan oleh penduduk kampung pada jarak kira-kira 12 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota, Abdul Rahim Baharom berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan pada hari ini bermula pukul 8.30 pagi dengan kekuatan 10 anggota termasuk enam anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota serta dibantu anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan.
“Operasi pencarian turut disertai anggota Angkatan Pertahanan Awam MAlaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Jabatan Amal serta penduduk kampung.
“Pencarian bermula dengan radius pencarian diperluaskan sehingga empat kilometer dari lokasi kejadian dan kemudiannya mayak mangsa ditemukan 12 kilometer dari lokasi mangsa hilang,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat dan difahamkan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Balok hari ini.
Terdahulu media melaporkan seorang pekerja restoran dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi bersama rakannya di Pasir Puteri, Sungai Lembing di sini pada kira-kira pukul 5.54 petang kelmarin. – KOSMO! ONLINE