IPOH – Pemandu lori muatan batu yang merempuh trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus-Sungai Lampam sehingga mengorbankan sembilan nyawa anggota kelmarin akan dituduh di Mahkamah Majistret Teluk Intan pada pukul 9 pagi esok.
Tertuduh yang sebelum ini direman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak untuk membantu siasatan akan dituduh di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, kemalangan pada pukul 8.50 pagi itu dipercayai berlaku ekoran stereng kenderaan berat yang dipandu lelaki tersebut gagal berfungsi sebelum terbabas dan melanggar trak FRU.
Ekoran pelanggaran itu, seramai sembilan anggota FRU Unit 5, Ipoh meninggal dunia termasuk lapan di lokasi kejadian, manakala sembilan lagi anggota mengalami kecederaan.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin dilaporkan berkata, pemandu lori berusia 45 tahun itu memiliki enam rekod kesalahan antaranya rogol dan dadah.
Bahkan, pemandu itu juga pernah melakukan kesalahan lalu lintas di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE