fbpx

Misi belum selesai, Syahir intai gelaran regu berpasukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AKSI pemain negara ketika menewaskan Thailand 2-0 pada aksi final acara regu di Piala Asia Kuala Lumpur 2025. GAMBAR: FARIZ RUSADIO

KUALA LUMPUR – Tekong negara, Mohammad Syahir Mohd Rosdi menegaskan kejayaan menumpaskan Thailand 2-0 dalam final acara regu Piala Asia Kuala Lumpur 2025 bukanlah penamat, sebaliknya hanya permulaan kepada misi lebih besar.

Menurutnya, walaupun kemenangan ke atas musuh tradisi itu dianggap sebagai satu kejutan dan pembakar semangat, fokus kini perlu segera beralih kepada acara berpasukan yang akan bermula seawal jam 9 pagi esok.

Syahir berharap rakan sepasukannya tidak leka atau terus dibuai kejayaan malam ini, sebaliknya kekal konsisten dalam setiap perlawanan sekiranya mahu merangkul gelaran ketiga di pentas berprestij Asia tersebut.

“Alhamdulillah, kami menang 2-0, tapi terus terang saya cakap, misi belum selesai. Banyak lagi yang kami perlu perbaiki, termasuk bola pertama. Servis saya sendiri pun masih ada yang tersangkut.

“Bila dah habis acara regu ni, saya terus katakan kita tak boleh terlalu selesa sebab misi yang lebih besar ialah acara berpasukan kerana ia melibatkan keseluruhan pemain,” katanya.

AKSI pemain negara ketika menewaskan Thailand 2-0 pada perlawanan final acara regu Piala Asia Kuala Lumpur 2025 di Stadium Titiwangsa di sini hari ini. GAMBAR: FARIZ RUSADIO

Bagaimanapun, Syahir mengakui kemenangan ke atas Thailand di stadium keramat Titiwangsa itu sedikit sebanyak memberi suntikan semangat kepada rakan sepasukan.

“Momentum kami malam ini memang bagus, tapi untuk acara berpasukan, kita perlu lebih konsisten dari awal sampai habis. Harap rakan-rakan cepat sesuaikan diri dengan suasana stadium dan tekanan,” ujarnya.

Skuad negara dijadual membuka tirai saingan menentang Brunei dan Jepun esok, sebelum berdepan Korea Selatan dalam aksi terakhir kumpulan pada Sabtu.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia menjulang kejuaraan dalam acara berpasukan adalah pada Sukan SEA Manila 1991 dan sejak itu, pelbagai generasi pemain mencuba nasib namun masih belum berjaya memecahkan dominasi pasukan gergasi Asia, Thailand.

Setakat ini, Malaysia telah merangkul kejuaraan dalam acara kuadran dan regu, namun terpaksa akur bergelar naib juara dalam kategori double selepas tewas kepada Thailand di pentas akhir di venue sama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI