KUANTAN – Mangsa yang lemas dihanyutkan arus deras di Pasir Puteri, Sungai Lembing di sini sempat meminta tolong sekali sebelum dilaporkan hilang petang semalam.
Kejadian pada pukul 5.45 petang itu berlaku selepas mangsa, Wan Izani Wan Mohamad, 29, datang ke lokasi berkenaan untuk berkelah bersama 19 saudara mara.
Seorang saksi, Syarifah Aida Syed Mamat, 47, berkata, semasa kejadian, mangsa baru sahaja turun ke dalam air untuk menguji kedalaman sungai berkenaan.
Katanya, mereka masih terkejut menyaksikan detik-detik akhir pemuda itu tenggelam ke dalam sungai.
“Kami ingatkan dia terapung, bila sampai depan dia minta tolong dan masuk dalam putaran air sebelum tenggelam.
“Kami berlari ke arahnya tetapi bila hendak capai tangannya, dia sudah tenggelam,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini. Turut berada di lokasi ialah ibu mangsa, Saadiah Botok, 68, yang datang dari Kelantan.
Syarifah Aida yang tinggal bersama ibu angkatnya di Kuantan datang ke Pasir Puteri buat kali pertama bersama saudara mara lain dengan menaiki empat buah kenderaan.
Pada mulanya mereka merancang untuk berkelah di Air Terjun Panching, tetapi menukar lokasi kerana kawasan tersebut ditutup awal.
Semalam Kosmo! Online melaporkan kegembiraan sekumpulan individu berkelah di Pasir Puteri, Sungai Lembing bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka lemas selepas dihanyutkan arus deras. – KOSMO! ONLINE