fbpx

Mangsa maut dipanah petir sempat minta abang jaga 3 anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jenazah Allahyarham Muhamad Faiez selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Simpang Sanglang di Kangar, hari ini.

KANGAR – Lelaki yang maut dipanah petir ketika keluar memukat udang di pesisiran Pantai Kuala Sungai Padang, Simpang Empat di sini dikatakan menunjukkan tingkah laku berbeza sebelum kematiannya.

Abangnya, Maszelan Othman, 46, berkata, sewaktu kali terakhir bertemu di jeti sebelum ke laut, arwah Muhamad Faiez, 28, kelihatan kurang ceria tidak seperti kebiasaan.

Katanya, arwah adiknya itu juga sempat berpesan supaya menjaga ketiga-tiga anaknya yang masih kecil sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

“Adik saya mempunyai tiga anak lelaki berusia enam tahun, setahun dan enam bulan.  Kami pelik kenapa arwah tak begitu ceria sebelum pergi ke laut pada hari kejadian,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Simpang Sanglang, di sini hari ini.

Sementara itu, saksi, Ibrahim Hasri, 23, memberitahu, kejadian berlaku begitu pantas, malah dia juga tidak menyangka arwah Muhamad Faiez dipanah petir sewaktu mereka dalam perjalanan pulang ke jeti.

Ketika bergegas pulang, dia melihat petir menyambar di sebelah telinganya. Sebaik menoleh ke belakang, Muhamad Faiez didapati sudah tidak sedarkan diri dengan kesan melecur.

“Saya minta bantuan rakan-rakan nelayan lain yang berada berhampiran lalu mereka membawa Faiez ke jeti,” katanya.

Tambahnya, dia turut mengalami kecederaan di telinga kanan yang menjejaskan pendengarannya, namun sudah mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Fauziah.

“Memang trauma tetapi saya akan kembali semula ke laut selepas ini untuk mencari rezeki,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI