fbpx

Lori simen alami masalah brek gilis pegawai penjara wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MANGSA digilis selepas motosikal ditungganginya dirempuh dari belakang oleh lori di Lebuh SPA, di Sungai Udang, Melaka, berhampiran lampu isyarat tapak pelupusan sampah, petang semalam.

MELAKA – Seorang pegawai penjara wanita maut dalam keadaan menyayat hati selepas digilis lori pembancuh simen di Lebuh SPA, Sungai Udang di sini petang semalam.

Dalam kejadian pukul 5.50 petang itu, mangsa, Amal Nurlidar Ghazali, 42, yang bertugas sebagai Sarjan Penjara di Penjara Dusun Dato’ Murad meninggal dunia di lokasi akibat parah pada kaki, muka dan beberapa bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati nahas berlaku ketika lori pembancuh simen dipandu lelaki berusia 49 tahun dalam perjalanan dari Bukit Rambai menuju ke Masjid Tanah.

“Setibanya di lokasi, kenderaan berat itu dipercayai mengalami masalah brek sebelum mengelak ke bahu jalan lalu merempuh motosikal ditunggang mangsa dari arah belakang.

“Rempuhan itu menyebabkan mangsa terjatuh dan digilis oleh kenderaan berat tersebut. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurut beliau, pemandu lori tidak cedera dan dibawa ke Hospital Melaka untuk ujian darah bagi pengesanan alkohol selepas keputusan ujian air kencing didapati negatif dadah.

Lori turut ditahan untuk siasatan termasuk pemeriksaan teknikal di Puspakom. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI