fbpx

Budak 4 tahun maut lemas asap di PPR Krubong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAYAT mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.-Foto oleh AMRAN ALI / KOSMO!

MELAKA – Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut selepas terperangkap dalam kejadian kebakaran membabitkan sebuah unit rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong, di sini, petang tadi.

Difahamkan kejadian kira-kira pukul 2.20 petang itu dipercayai berpunca daripada tindakan mangsa bermain pemetik api sebelum api marak membakar rumah berkenaan yang terletak di tingkat enam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Kanan Bomba II, Mohd. Shahrom Laji berkata, maklumat awal itu diterima daripada ibu mangsa, Siti Zaharah Borhan, 43.

Menurutnya, daripada siasatan awal, ibu mangsa memaklumkan anaknya ada bermain dengan pemetik api, namun siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk penggunaan khidmat Unit K9 JBPM.

“Mangsa merupakan anak keempat daripada lima beradik yang berusia antara satu hingga 13 tahun dan ditemukan dalam keadaan terbaring serta melecur di bilik ketiga rumah berkenaan.

“Punca sebenar kematian masih dalam siasatan dan mayat telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurutnya, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Cheng dan Ayer Keroh dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba pada pukul 2.38 petang, didapati kebakaran berlaku di sebuah unit tingkat enam membabitkan sebuah bilik daripada tiga bilik keseluruhan rumah dan api berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira pukul 3.24 petang.

“Semasa operasi pemadaman, pasukan menemui seorang kanak-kanak lelaki terbaring dalam bilik ketiga dipercayai akibat terperangkap,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI