BANGKOK – Seorang pemandu kenderaan ‘hatchback’ menawarkan untuk mengambil tiga pelancong asing dan meminta isterinya supaya duduk di dalam but kereta, lapor portal berita Thaiger hari ini.
Halaman Facebook Phuket berkongsi klip video yang memaparkan kejadian itu.
Sebilangan netizen, khususnya pemandu teksi tempatan, meluahkan rasa kecewa di media sosial berhubung insiden itu.
Ada yang berkata, kereta tersebut dijadikan prebet sapu kerana tidak mempunyai pendaftaran untuk kenderaan pengangkutan awam.
Sebilangan netizen lain menyatakan bahawa isteri pemandu berkenaan tidak patut berada di dalam kenderaan ketika suaminya bertugas.
Netizen turut menggesa Pejabat Pengangkutan Darat Wilayah Phuket mengambil tindakan tatatertib terhadap pemandu tersebut kerana memberikan perkhidmatan secara haram. – AGENSI