SUNGAI BULOH – Keluarga kepada pasangan suami isteri yang parah selepas dirempuh sebuah Nissan Navara di Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Duta baru-baru ini sedia mengambil tindakan undang-undang terhadap pemandu kenderaan terbabit.
Anak kepada mangsa, Farah Natasya Faizal, 25, berkata, sekalipun mahkamah telah menjatuhkan hukuman kepada pemandu berkenaan, namun keadilan ke atas ibu bapanya masih perlu ditegakkan.
Katanya, seluruh keluarga tetap menghormati keputusan mahkamah dan pihaknya juga sudah mengadakan beberapa pertemuan dengan peguam bagi mengenal pasti tindakan yang boleh diambil.
“Kami tidak akan berdiam dan akan membuat sesuatu untuk tuntut keadilan. Ketika ini, kami sedang dapatkan dokumen termasuk bukti dan saksi dalam kes ini.
“Kami juga akan ambil tindakan ke atas laporan polis yang dibuat pemandu yang mendakwa motosikal ibu bapa saya memasuki lorong sebelah secara tiba-tiba,” katanya ketika ditemui di Hospital Sungai Buloh, di sini semalam.
Mengulas lanjut, Farah Natasya berkata, ibunya, Suhailiza Shamsuddin, 49, masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala bapanya Faizal Mat, 53, telah dibenarkan keluar semalam.
“Keadaan ibu masih kritikal dan belum sedarkan diri. Dia ada beberapa kali seakan tersedar dan bergerak seperti terkejut kemungkinan trauma akibat insiden terbabit.
“Untuk bapa saya, luka di kakinya itu kena jaga dan pantau dengan rapi kerana dia menghidap kencing manis. Saya bimbang jika ia melarat menjadi lebih teruk.
“Ibu saya ini dia tiada penyakit dan sihat sebelum ini. Bila jadi macam ini, saya sedih tengok keadaannya,” katanya lagi.
Menceritakan semula pada hari kejadian, anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, kejadian berlaku ketika ibu dan bapanya dalam perjalanan dari Alor Setar ke Kampung Baru untuk berjumpa denganya.
“Sepatutnya malam itu, kami sekeluarga pergi Konsert GenKRU 2025 di Stadium Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
“Kami dah rancang semuanya termasuk makan malam bersama, namun hasrat itu tidak kesampaian,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang pada 10 Mei lalu, pasangan suami isteri yang menaiki motosikal jenis Benelli TRK 502 cedera dirempuh dari arah kanan oleh sebuah pikap jenis Nissan Navara menyebabkan mereka tercampak ke bahu jalan.
Mangsa lelaki berusia 53 tahun retak tulang selangka dan luka pada kaki, manakala isterinya, 49, masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh dan ditidurkan selepas mengalami pendarahan pada kepala, patah tulang rusuk kanan serta buku lali.
Pemandu Nissan Navara yang terlibat dalam kejadian rempuhan membabitkan pasangan suami isteri di Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Duta itu telah dipenjara 30 hari dan didenda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret atas pertuduhan memandu secara melulu.














