TEKONG muda negara, Haziq Hairul Nizam tekad memperbaiki servisnya menjelang saingan acara regu berpasukan Piala Asia 2025 yang bakal membuka tirainya hari ini.
Menurut Haziq, servis yang lebih konsisten dan bertenaga akan menjadi senjata utama bagi memastikan regunya memperoleh mata awal dalam setiap set terutama berdepan Thailand.
“Saya sendiri mahu perbaiki servis supaya lebih baik dan konsisten. Kalau diturunkan sebagai regu pertama, saya akan cuba berikan kemenangan penting buat Malaysia,” katanya.
Selepas menunjukkan aksi memberangsangkan dalam acara kuadran dan double, skuad negara kini bersedia menggalas cabaran lebih besar dalam saingan berpasukan dengan harapan menamatkan kemarau sejak kali terakhir menjulang emas di Sukan SEA Manila 1991.
Menggabungkan pemain muda dan berpengalaman, skuad kendalian Ahmad Jais Baharun kali ini dilihat lebih mantap, terutama dari segi persefahaman dan taktikal.
“Setakat ini, kami sangat selesa bermain bersama dan saling memahami gerakan masing-masing,” kata Haziq.
Walaupun dijangka berdepan laluan sukar termasuk kemungkinan bertemu Thailand yang dibarisi pemain berstatus bintang, namun Haziq tetap yakin skuad negara mempunyai kekuatan tersendiri.
“Pemain Thailand memang hebat tapi kita dah biasa bertemu mereka di STL (Liga Sepak Takraw). Bezanya kali ini mereka main sesama sendiri. Tapi kami pun tak kurang hebatnya.
“Kami bermain sebagai satu pasukan dan beraksi di pentas besar di hadapan penyoong sendiri cukup memberikan kami motivasi,” ujarnya.