PETALING JAYA – Penyanyi Hafiz Suip berdepan satu lagi ujian dalam hidup apabila disahkan berdepan masalah kesihatan iaitu batu karang dalam buah pinggang.
Hafiz atau nama sebenarnya, Mohd. Hafiz Mohd. Suip berkata, dia reda dengan dugaan hidup Ilahi yang menimpa dirinya.
“Alhamdulillah. Dapat tahu ada batu karang dalam buah pinggang. Sakit atau sihat milik Allah,” katanya.
Perkara itu dimaklumkan pelantun lagu Bahagiamu Deritaku itu melalui hantaran dalam Instagram (IG), hari ini.
Hantaran tersebut disertai video yang memaparkan Hafiz sedang menjalani prosedur perubatan termasuk menerima suntikan.
Menerusi satu hantaran bersaingan, Hafiz menyertakan kapsyen berbahasa Arab, hasbunallah wani mal wakil yang bermaksud: ‘Cukuplah Allah menjadi penolong kami’.
Bagaimanapun, pemenang trofi Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu (AJL) empat kali itu tidak berkongsi butiran terperinci mengenai penyakitnya itu.
Awal tahun lalu, penyanyi kelahiran Sarawak itu mengesahkan sedang dalam proses perceraian dengan isterinya, Nureffy Jasreel Abdullah. – KOSMO! ONLINE