JOHOR BAHRU – Seorang guru pendidikan jasmani didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana memiliki bahan porno dalam telefon bimbitnya, pada Januari tahun lalu.
Tertuduh, Gusti Ishak Fitri Shah, 30, mengaku bersalah sebelum menukar pengakuan kepada tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, A. Shaarmini.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa menyimpan bahan lucah dalam telefon bimbitnya di kediamannya di Taman Cahaya Masai pada pukul 7 malam, 13 Januari tahun lalu.
Ketika prosiding berlangsung, Majistret sempat menegur perbuatan tertuduh yang tersenyum-senyum ke arah Majistret ketika pertuduhan dibacakan.
“Jangan senyum kepada saya, saya tanya sama ada kamu mahu mengaku salah atau tidak. Jika kamu mengaku tidak bersalah, kamu kena cari peguam untuk bela diri,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM3,000 dan tarikh 30 Mei untuk sebutan semula kes.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fatihah Mohd. Nizam. – KOSMO! ONLINE