fbpx

K2

Cabaran tunaikan haji, Meningococcal boleh bawa maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JEMAAH haji dan umrah datang dari pelbagai negara termasuk kawasan dikenali sebagai ‘lingkaran meningitis’. –GAMBAR HIASAN

MENUNAIKAN haji dan umrah di Mekah, Arab Saudi merupakan antara ibadah yang ingin dikerjakan oleh setiap umat Islam jika berkemampuan.

 Untuk mengerjakan ibadah tersebut, setiap jemaah diwajibkan untuk mengambil suntikan vaksin meningococcal untuk memberi perlindungan terhadap penyakit meningococcal.

Meningococcal merupakan sesuatu yang berbahaya kerana penyakit ini berisiko menyebabkan kematian.

Pakar Kesihatan Pekerjaan dan Penasihat Perubatan Berkat OSH Sdn. Bhd., Dr. Hazlee Abdul Hadi berkata, terdapat tiga jenis kuman yang boleh menyebabkan jangkitan meningitis (radang selaput otak) iaitu bakteria, virus dan kulat.

Menurutnya, salah satu kuman yang menyebabkan masalah tersebut adalah bakteria Neisseria meningitidis.

“Bakteria ini boleh menular kepada individu sehingga menyebabkan penyakit meningococcal.

“Bakteria ini mempunyai enam strain iaitu A, B, C, W, X dan Y. Strain bakteria ini boleh menyebabkan 95 peratus penyakit meningococcal invasif di seluruh dunia.

“Ia boleh merebak ke dalam darah dan menyebabkan jangkitan yang teruk kepada pesakit,” katanya.

Tambahnya, kadar berlakunya penyakit ini adalah rendah, namun jika seseorang itu dijangkiti mereka berhadapan risiko komplikasi serius sehingga boleh menyebabkan kematian dalam tempoh 24 hingga 48 jam.

Sebolehnya, kita perlu mengelak daripada berhadapan dengan penyakit itu.

SIMPTOM seperti ruam akan muncul selepas 18 hingga 24 jam pesakit dijangkiti virus meningococcal. – GAMBR HIASAN

Dr. Hazlee menjelaskan, seseorang itu berisiko mendapat penyakit meningococcal sekiranya terdedah atau dijangkiti dengan kuman Neisseria meningitidis.

“Kuman ini mudah membiak di dalam rongga hidung dan rongga tekak. Simptom awal penyakit ini adalah selesema, batuk, demam dan sakit tekak,” jelasnya.

Katanya lagi, mereka yang dijangkiti kuman ini boleh menjadi ‘pembawa’ dan menjangkiti orang lain.

Mereka yang lemah imuniti berisiko untuk mendapat komplikasi lebih serius apabila dijangkiti dengan kuman tersebut.

Dalam pada itu, Dr. Hazlee menjelaskan, dalam tempoh empat hingga 12 jam, individu yang dijangkiti kuman tersebut mungkin tidak akan berasa sebarang simptom teruk.

Menurutnya, simptom yang ditunjukkan mungkin hanya selesema, demam biasa, sakit tekak dan rasa seperti tidak sedap perut.

“Doktor mungkin akan memberikan ubat demam, ubat selsema dan ubat sakit tekak jika seseorang itu pergi mendapatkan rawatan di klinik.

“Sebenarnya, kuman ini tidak terkesan dengan ubat yang diberikan. 

“Sebaliknya dalam tempoh 12 hingga 15 jam, simptom yang ditunjukkan lebih spesifik seperti ruam, leher menjadi tegang, sakit kepala, muntah dan photophobia atau tidak selesa dengan cahaya.

“Apabila memasuki tempoh 18 hingga 24 jam, barulah pesakit akan mendapat simptom yang teruk iaitu mula celaru, pengsan serta sawan. Ketika itu, barulah pesakit akan dihantar ke hospital,” katanya.

Tambahnya, jika rawatan diberikan lewat, risiko untuk pesakit meninggal dunia adalah sebanyak 15 peratus.

Jika pesakit boleh bertahan, mungkin akan ada kerosakan pada organ lain kerana kuman itu telah merebak ke seluruh tubuhnya. Untuk makluman, risiko penyakit meningococcal lebih tinggi kepada kanak-kanak dan mereka berusia.

Namun hakikatnya, kuman penyakit itu boleh memberi kesan kepada semua golongan umur. 

Oleh itu, vaksinasi amat penting sebelum seseorang itu pergi menunaikan umrah atau haji bagi mengurangkan risiko jangkitan penyakit meningococcal.

Malah, kerajaan Arab Saudi telah mewajibkan semua jemaah untuk mendapatkan vaksin meningococcal bagi membendung penyakit tersebut.

Vaksinasi penting bagi mengurangkan risiko jangkitan meningococcal kerana jemaah haji dan umrah datang dari pelbagai negara. 

Malah, ada jemaah yang datang dari negara dalam kawasan dikenali sebagai ‘lingkaran meningitis’ dan berisiko menyebarkan kuman tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI