PETALING JAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, kemajuan pendidikan hanya akan tercapai jika suara guru didengari, kebajikan mereka dijaga dan tugasan disusun semula kepada mereka dengan bijaksana.
Jelas Ahmad Zahid, Teknologi dan Kecerdasan Buatan (AI) harus dimanfaatkan untuk membantu guru, bukan menambah beban agar mereka dapat kembali menumpukan sepenuh perhatian kepada peranan utama iaitu mendidik dengan jiwa dan kasih.
“Kepada seluruh guru di Malaysia, kalian tetap menjadi “Suluh Budiman” zaman ini. Dalam dunia yang semakin tergesa dan kehilangan rasa, kalian kekal sebagai benteng nilai dan cahaya ilmu yang membentuk masa depan bangsa.
“Buat para guru yang akan kembali ke rumah dan negeri masing-masing, saya doakan agar perjalanan kalian dipermudahkan dan selamat sampai ke destinasi.
“Teruskanlah mendidik anak bangsa dengan penuh keikhlasan dan kasih sayang. Sesungguhnya, setiap ilmu yang dicurahkan akan terus hidup dalam diri murid-murid dan menjadi amal jariah yang mengalir hingga ke akhirat. Insya-Allah,” tulisnya di Facebook.
Terdahulu, Ahmad Zahid telah diberi penghormatan untuk merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2025 yang berlangsung di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak hari ini.
Jelas Ahmad Zahid, kehadiran para guru dari seluruh pelusuk tanah air ke Bumi Kenyalang hari ini membuktikan semangat, iltizam dan komitmen luar biasa warga pendidik dalam mendukung kemajuan pendidikan negara. – KOSMO! ONLINE.