BALING – Sepasang suami isteri yang juga mantan guru besar syukur dan berbangga apabila empat anak dan dua menantu mereka turut memilih kerjaya dalam bidang perguruan.
Bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Ketil, Kupang, di sini, Abu Hassan Othman, 73, berkata, dia berkhidmat sebagai guru bermula 1975 hingga 2008 sementara isteri, Rodiah Awang Chik 72, dari tahun 1975 hingga 2011.
“Sebelum bergelar guru, beliau bekerja di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, seterusnya menjadi pegawai audit di Pejabat Audit Negara.
“Isteri saya juga mantan guru besar iaitu di SK Kampung Sadek, Kupang dan sekarang mengusahakan tadika, kelas tuisyen dan homestay,” katanya ketika ditemui di Tadika Brighter Brain, di sini semalam.
Katanya, dia bangga apabila empat anak dan dua menantunya turut menceburi bidang perguruan dan cucu keempat, bakal menyambung legasi keluarga.
Menurutnya, empat anaknya iaitu Mohamad Khairul Nizam, 48, merupakan Pengetua SMK Taman Kota Kulai di Johor, Haiza Baizura, 46, mengajar di SK Apas Tawau di Sabah sementara Norul Syuhada, 43, mengajar sebagai pensyarah bidang perakaunan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi dan Mohamad Asyraf, 41, kini menjadi Guru Besar SK Malau, Baling.
Jelasnya, hubungannya dengan bekas pelajar sangat baik meskipun dia dan isteri sudah lama meninggalkan alam perguruan.
“Anak-anak murid tetap mengenali saya dan isteri serta sering bertanya khabar.
“Alhamdulillah, ramai anak murid yang sudah berjaya sehingga mendapat gelaran datuk, ada yang menjadi pensyarah universiti luar negara serta mempunyai kerjaya yang hebat, sememangnya itu yang setiap guru mahukan,” katanya.