fbpx

3 lelaki skinhead pukul vokalis Armpunk Sindicate didakwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Samsul Muarif, Mozlani dan Muhammad Ahnaf diiringi anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret, Johor Bahru hari ini. - Foto oleh RAJA JAAFAR ALI / KOSMO!

JOHOR BAHRU – Tiga lelaki yang terlibat dalam kejadian pukul beramai-ramai seorang vokalis kumpulan muzik Armpunk Sindicate minggu lalu mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

Ketiga-tiga tertuduh, Samsul Muarif M. Padal, 36; Mozlani Tukimon, 35, dan Muhammad Ahnaf Ab. Rahman, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nabilah Nizam.

Mahkamah bagaimanapun menolak pengakuan bersalah tersebut kerana Mozlani dan Muhammad Ahnaf tidak mengakui fakta kes yang dibaca iaitu mereka terlibat menggunakan tong sampah aluminium sebagai senjata.

Berdasarkan kertas pertuduhan, ketiga-tiga mereka secara bersama telah dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap mangsa yang berusia 23 tahun dengan menggunakan tong sampah aluminium yang dijadikan sebagai senjata untuk menyerang dan mungkin menyebabkan kematian. Perbuatan itu dilakukan di hadapan sebuah pusat gimnasium di City Plaza, Jalan Wadi Hana di sini pada pukul 10.30 malam, 10 Mei lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, R. Nevina mencadangkan setiap tertuduh dijamin RM10,000, namun dibantah peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Goh Poh Gek yang mewakili ketiga-tiga tertuduh.

“Samsul Muarif tidak mempunyai pendapatan tetap dan masih menanggung dua orang tua yang sudah uzur. Manakala Mozlani hanya bekerja kilang dengan pendapatan RM2,000 sebulan.

“Muhammad Ahnaf pula sudah bercerai dan mempunyai seorang anak. Dia membuat kerja-kerja ‘freelance’ dengan gaji RM2,000 sebulan,” katanya sambil memberitahu ketiga-tiga mereka adalah pesalah kali pertama.

Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin RM3,500 masing-masing dengan seorang penjamin, selain menetapkan tarikh 17 Jun depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI