PASIR PUTEH – Seorang warga emas maut selepas motosikal yang dia tunggang dirempuh sebuah kereta di Kilometer 44.5, Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu berhampiran Pondok Polis Gaal di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 6.30 petang itu, mangsa yang berusia 69 tahun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala di Unit Kecemasan, Hospital Tengku Anis di sini selepas satu jam menerima rawatan.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, siasatan awal mendapati, mangsa menunggang motosikal jenis Honda EX5 sedang dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu menghala ke Pasir Puteh.
Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, mangsa yang menunggang secara perlahan di bahu jalan dipercayai bertindak mengubah haluan ke kanan.
“Sebuah kereta jenis Toyota Corolla dipandu seorang lelaki berusia 54 tahun dari arah sama dikatakan tidak sempat mengelak sebelum merempuh bahagian depan sisi kanan motosikal tersebut.
“Keadaan itu menyebabkan mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala sebelum Hospital Tengku Anis di sini untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Zaizul Rizal memberitahu, warga emas itu disahkan meninggal dunia kira-kira 7.30 malam semasa dirawat di hospital berkenaan.
Menurutnya, pemandu kereta itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE