fbpx

Warga Bangladesh kerja restoran nasi kandar di Terengganu tanpa permit ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian pekerja asing diperiksa dalam serbuan di sebuah restoran nasi kandar di Kuala Terengganu baru-baru ini.

KUALA TERENGGANU – Tiga premis makanan termasuk sebuah restoran nasi kandar terkenal di bandar raya ini diserbu pihak berkuasa membawa kepada penahanan 34 pekerja warga Bangladesh baru-baru ini.

Operasi dilaksanakan Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja (JTK) negeri pada 8 Mei lalu itu mendapati kesemua pekerja asing terbabit melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, serbuan dibuat hasil risikan awal yang mengesyaki berlakunya aktiviti pemerdagangan orang dan ekploitasi pekerja asing di tiga premis makanan berkenaan.

Katanya, seramai 34 pekerja Bangladesh berusia 20 dan 60 tahun serta tiga majikan mereka ditahan untuk membantu siasatan.

“Antara kesalahan yang dikesan adalah tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan menyalahgunakan permit kerja, perihal menggaji pekerja asing dan tidak mematuhi standard minimum penginapan dan kemudahan pekerja,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Khairi berkata, kes disiasat mengikut Seskyen 55B Akta Imigresen 1959 dan Seksyen 6(1)(c) serta Seksyen 15(1)(c) akta sama.

Beliau berkata, tindakan kompaun mengikut Seksyen 24D Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 turut dikenakan oleh JTK.

“Pengusaha restoran diingatkan supaya mengikut saluran betul dan mematuhi undang-undang sekiranya mahu menggaji pekerja asing,” kata beliau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI