HAMPIR sedekad memahat nama dalam industri seni suara, Wany Hasrita kini berdiri teguh sebagai antara penyanyi bersinar di persada hiburan tanah air.
Tanpa perlu diperkenalkan panjang lebar, namanya sudah cukup dikenali bahkan pernah menjulang Anugerah Bintang Paling Popular ke-31 (ABP31).
Kelibatnya sentiasa dikaitkan dengan keanggunan, kelembutan dan ketenangan, jauh sekali terpalit noda kontroversi atau kisah sensasi.
Mekar dalam diam, harum dalam senyap, itu perumpamaan paling tepat menggambarkan sosok wanita tinggi lampai itu.
Pemilik nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita itu tidak perlu mencipta drama murahan untuk terus relevan, sebaliknya kesantunan dan bakatnya cukup menjadi tiket buatnya kekal di hati peminat.
Ketika industri didatangi gelombang pendatang baharu yang ghairah mengejar glamor, dia tetap teguh berdiri di atas tapak yang dibina atas dasar kerja keras dan dedikasi.
Tidak pernah leka dibuai zon selesa, Wany terus mencari sisi baharu untuk diteroka. Pelbagai genre dicuba, variasi melodi dijamah demi memberi sesuatu yang segar kepada peminat setianya.
Berpasak pada prinsip tersebut, lahirlah buah tangan terbaharunya berjudul Jahat sebuah karya yang bukan sekadar mampu merobek jiwa, malah menyusup masuk ke relung emosi paling dalam.
Lagu yang diangkat sebagai runut bunyi rasmi (OST) drama bersiri Pabila Dia Tersenyum, terbitan Global Station Sdn. Bhd. itu disifatkan Wany sebagai antara karya paling berat pernah dinyanyikannya.
Mengalirkan air mata ketika proses rakaman karya tersebut, ibu anak satu itu berkata perasaan sebak yang muncul bukanlah dek terkesan pengalaman peribadi tetapi lebih kepada kekuatan mesej dalam lagu itu sendiri.
“Ini lagu yang benar-benar menguji jiwa saya. Liriknya tajam, melodinya pilu. Saya sendiri menangis teresak-esak selepas rakaman.
“Pada jam pertama rakaman, saya langsung tak mampu menyanyi. Liriknya terlalu dalam. Saya kena faham, hadam dan hidup dalam cerita lagu itu.
“Saya cuba hayati setiap patah baitnya. Nakshah ini bukanlah menyingkap pengalaman sendiri, sebaliknya memahami setiap bait lirik untuk memudahkan proses rakaman lagu, tapi itupun tak mencukupi, terlalu berat,” katanya kepada HibGlam.
Jahat menjadi saksi kolaborasi sulung antara Wany dan barisan komposer hebat dari Seberang seperti Audree Dewangga, David Elsandro, Andre Lizt dan Trakast.
Lebih istimewa, Jahat juga lagu pertama yang dirakamkan, pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Perubatan itu selepas keluar daripada FMC Music.
“Ini ‘anak sulung’ saya selepas melangkah keluar dari syarikat lama. Sudah lama saya teringin nyanyi lagu balada betul-betul sedih, yang buat orang rasa nak menangis waktu dengar.
“Saya sudah mencuba pelbagai genre, namun naskhah ini lain. Kali pertama dengar demo lagu ini, hati saya terus terpaut,” dedahnya.
Buat penyanyi berusia 33 tahun itu, lagu Jahat bukan sekadar karya sebaliknya merupakan doa, harapan dan pengubat luka buat sesiapa sahaja yang pernah dilukai dalam cinta.
“Lagu ni memang berat dari segi emosi, tapi dalam kesedihan, ada juga kekuatan. Saya percaya setiap orang pernah melalui fasa terluka. Mungkin lagu ini boleh jadi peneman buat mereka.
“Kalau lagu ini mampu buat seseorang menangis, itu tandanya mesejnya sampai,” tutupnya.
Single Jahat kini boleh didengari di semua platform digital termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music.
Muzik video rasminya turut boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Wany Hasrita.