PETALING JAYA – Tercetus insiden lucu ketika sesi sidang khas di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden Russia, Vladimir Putin, di Moscow semalam.
Kemesraan kedua-dua pemimpin negara itu menjadi fokus masyarakat seluruh dunia ketika apabila Putin ‘mengusik’ Anwar dengan bertanyakan siapa yang beliau fikirkan layak duduk di takhta (throne) ketiga.
Soalan itu diutarakan Putin, selepas membawa Anwar melawat Dewan Agung St. Andrew, yang memaparkan tiga takhta.
Anwar kemudiannya menjawab, ‘Untuk isteri kedua’, yang sekali gus meraih tawa para hadirin yang terdiri daripada delegasi negara, pegawai-pegawai tinggi Russia serta media antarabangsa.
Kemudian Putin secara berseloroh juga berkata, ‘Itu adalah jawapan daripada seorang Muslim sejati, wakil budaya Islam’.
Anwar tidak menunggu lama untuk tampil ‘mempertahan diri’ dengan menjelaskan bahawa dia hanya mempunyai seorang isteri.
“Saya cuma ada seorang isteri, Tuan Presiden, tetapi saya gagal kerana presiden sebenarnya menguji saya dan ia adalah satu ‘helah’. Saya kata takhta kanan untuk isteri, kiri untuk isteri kedua. Tetapi kemudian saya sedar sebenarnya ia untuk ibu,” ujarnya.
Usikan Putin tidak berakhir di situ apabila dia menjawab, ‘Ya, takhta ketiga itu memang untuk ibu. Pertukaran maklumat sentiasa berguna’.
Anwar kini dalam sesi lawatan rasmi empat hari ke Russia sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara di tengah-tengah perubahan arus geopolitik global. – KOSMO! ONLINE
@properpaduan_ KEAKRABAN YAB PMX DAN PRESIDEN PUTIN RUSIA BERADA PADA TAHAP TERTINGGI #malaysiatiktok #demipertiwi #rakyatmalaysia #pmx #foryou #kerajaanperpaduan #madani #pmanwar #kerajaanperpaduan #madani #pmanwar #malaysiamadani #malaysia #keadilanuntuksemua #kerajaanmadani #perdanamenteri ♬ original sound – Pro Perpaduan 2.0