fbpx

[VIDEO] “Lafaz talak sorih, jelas dan sah”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ustaz Izmir menjelaskan mengenai lafaz talak oleh Khairul Aiman terhadap isterinya, Siti Jamumall sewaktu sesi 'live' di media sosial awal pagi tadi.

PETALING JAYA – Lafaz talak oleh Khairul Aiman Abdul Kudus, 22, kepada isterinya, Siti Suriani Wahiddin, 26, yang juga pempengaruh Siti Jamumall dalam satu siaran langsung di media sosial awal pagi tadi adalah lafaz sorih atau jelas.

Menerusi hantaran video pendakwah bebas, Ustaz Izmir Fareez pada TikTok menjelaskan, berhubung lafaz tersebut selain hukum melafazkan talak secara ‘live’ di media sosial sama ada ia jatuh atau sebaliknya.

“Perkara itu perlu dilihat kepada lafaz talak yang digunakan. Adakah dia guna lafaz sorih atau lafaz kinayah? Sorih ini maknanya jelas, kalau digunakan perkataan jelas seperti talak, cerai. Maka jatuhlah talak tersebut kepada isteri.

“Tapi kalau digunakan lafaz kinayah, contoh kiasan seperti ‘kau keluar dari rumah ni, kau balik rumah mak kau, aku tak nak tengok muka engkau lagi’. Yang ini kena tengok pada niat suami,” katanya pada video berkenaan.

Beliau berkata, sekiranya suami berniat untuk menjatuhkan talak sewaktu lafaz kinayah tersebut, maka talak itu akan jatuh kepada isterinya.

“Tapi persoalannya sekarang ini, dia menggunakan lafaz yang jelas, talak dua,” katanya.

Beliau berkata, justeru menjadi persoalan ketika ini sama ada talak tersebut jatuh kepada talak satu atau dua.

“Sebab sebelum ini mereka pernah pun bercerai ataupun bertalak dengan talak satu, kemudian mereka rujuk. Kali ini mereka talak lagi sekali dengan lafaz talak dua.

“Adakah talak dua itu campur satu jawapannya tiga. Sebab kadang ada je komen, dia kata ‘ustaz kita bukan kira macam matematik’. Eh kalau bukan kira macam matematik nak pakai apa. Geografi? Jadi satu tambah dua ertinya tiga. Dia telah melafazkan tiga talak sekali gus.

“Sebab menjadi persoalan kita mungkin orang ingat, ‘oh ini talak kedua kot’. Cuba dengar balik perkataan kedua dia gunakan, sama ada talak digunakan itu ‘talak dua’ atau ‘talak yang kedua’,” katanya.

Ustaz Izmir berkata, sekiranya si suami menggunakan perkataan ‘yang kedua’, maka talak tersebut jatuh kepada talak dua.

“Satu (talak sebelum ini) tambah talak yang kedua (talak baru dilafazkan), (maknanya kena) tambah lagi satu. Jawapannya baru dua (talak).

“Tapi kalau dia gunakan (lafaz) ‘talak dua’, jadi satu (talak sebelum ini) tambah talak dua (talak baru dilafazkan), jawapannya tiga. Maknanya dia telah menggunakan ketiga-tiga talak tadi. Itulah jawapan kena ikut matematik juga,” katanya.

Kosmo! melaporkan, Siti Jamumall dan suaminya, Khairul Aiman bercerai buat kali kedua pada awal pagi tadi. Lafaz cerai itu dibuat secara langsung menerusi siaran TikTok di akaun @Sitijamumall hingga menjadi tular di media sosial.

Video yang tular memperlihatkan, Khairul Aiman melafazkan cerai kepada isterinya sebanyak tiga kali sebelum siaran tersebut dihentikan secara mengejut.

“Siti Suriani binti Wahiddin, aku ceraikan kau dengan talak dua. ‘See you in court’ (jumpa di mahkamah),” katanya dalam video berkenaan.

Terdahulu, media melaporkan pasangan itu pernah bercerai dan hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 6 Mei lalu. Namun, mereka mengambil keputusan untuk kembali rujuk dalam tempoh kurang 24 jam selepas pengesahan lafaz cerai dibuat.

Difahamkan, pasangan ini bernikah di Satun, Thailand pada 1 Jun tahun lalu. Siti Jamumall sebelum ini pernah berkahwin, namun bercerai selepas empat tahun mendirikan rumah tangga.

Hasil perkahwinan terdahulu, dia dikurniakan dua anak lelaki berusia lima dan tiga tahun. – KOSMO! ONLINE.

@izmirfareez Hukum melafazkan talak secara live di media sosial. #talak #live #mediasosial #fyp ♬ original sound – Izmir Fareez

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI