fbpx

Usaha Ducati pulih semangat Pecco

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BAGNAIA dibantu marshal perlumbaan menolak jenteranya selepas terlibat kemalangan pada GP Perancis di Le Mans minggu lalu. - AFP

LE MANS – Bos Ducati, Gigi Dall’Igna melaungkin keyakinan penuh kepada Francesco Bagnaia walaupun juara dua kali Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) itu terus diuji nasib malang pada Grand Prix (GP) Perancis hujung minggu lalu.

Ducati turun ke Le Mans dengan harapan untuk memadam rekod 22 kemenangan berturut-turut dipegang Honda sejak 1998, namun gagal apabila Johann Zarco mencipta kejutan menjuarai perlumbaan buat LCR Honda, diikuti Marc Marquez di tempat kedua.

Bagnaia yang lebih mesra disapa Pecco pula berdepan hujung minggu mendukacitakan apabila terjatuh ketika perlumbaan sprint dan kemudiannya dilanggar oleh Enea Bastianini sebaik perlumbaan utama disambung semula selepas hujan.

Bagi Dall’Igna, Bagnaia masih menampilkan semangat juang tinggi biarpun menghadapi tekanan membuktikan juara dunia itu masih berada di landasan yang betul, hanya menanti tuah menyebelahinya semula.

“Bagi Pecco (Bagnaia), ia memang kekecewaan besar, lebih-lebih lagi apabila strategi dipilih kekal dengan tayar basah adalah keputusan yang bijak. Ia meletakkannya dalam kelompok hadapan jika bukan kerana pelanggaran yang langsung bukan berpunca daripadanya.

“Hujung minggu itu bermula dengan begitu baik pada hari Jumaat, namun sayangnya Bagnaia terjatuh. Kami semua tahu dia adalah seorang juara sejati.

“Kini, kami mesti berganding bahu untuk memulihkan semangatnya dan mengembalikan senyuman di wajahnya,” kata Dall’Igna.

Dall’Igna juga memberi isyarat jelas Ducati akan terus memberikan sokongan penuh kepada pelumba No. 1 mereka itu sambil menyifatkan insiden di Le Mans bukan cerminan sebenar kemampuan Bagnaia.

Dalam masa sama, beliau turut memuji tindakan matang Marquez menamatkan perlumbaan di tempat kedua tanpa mengambil risiko untuk mengejar Zarco serta memberi penghargaan kepada kejutan podium berganda Fermin Aldeguer bersama Gresini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI